xXxM@RuB@bExXx

Thursday, April 25, 2013

THE LOST TRIBES OF SARAWAK - ETNIK MIRIEK

Ha...nie artikel yg aku baru jer baca psl kaum yg ad kat bandar aku nie..bangsa yg paling lm yg penah menetap di miri, sarawak mengalahkan bangsa2 lain..kira origin ethnic miri lh..kat bwh nie info psl mrk...

THE LOST TRIBES OF SARAWAK - ETNIK MIRIEK

Etnik Miriek, inilah satu nama etnik yang mungkin masih tidak dikenali oleh rakyat Sarawak sendiri. Etnik Miriek ini merupakan penduduk asal dan pengasas kepada Bandar Miri, iaitu salah satu Bandar terpenting di dalam sumber ekonomi di Malaysia. Populasi etnik Miriek sekarang juga tidak diketahui memandangkan tiada sumber populasi rasmi yang dikeluarkan untuk etnik ini dan hanya pada tahun 1988 etnik Miriek dikatakan seramai lebih kurang 2000 orang.

Asal keturunan untuk etnik Miriek adalah mereka yang menjadi penduduk asal kepada Sungai Miri. Beratus-ratus tahun dahulu hanya etnik Miriek yang mendiami kawasan sungai ini seperti di Likoh Miriak, Padang Likud dan Sungai Taniku. Menurut legenda asal keturunan etnik Miriek ini, etnik ini sebenarnya telah dipaksa berpindah dari kawasan pedalaman Sungai Miri sehinggalah ke kawasan pantai kerana perang perluasan kuasa oleh etnik Kayan. Etnik Miriek ini yang dikenali sebagai etnik yang cintakan kedamaian telah banyak mengalah dan berpindah randah demi survival etnik mereka.

Etnik Miriek sebenarnya terbahagi kepada 2 sub-etnik iaitu Miriek Bahut dan Miriek Permaisuri. Miriek Bahut dikatakan adalah sub-etnik yang asli iaitu Miriek Asli. Manakala Miriek Permaisuri adalah etnik miriek yang dikatakan berketurunan daripada perkahwinan antara anakanda Ratu Permaisuri daripada Sulawesi, Indonesia yang bernama Tahir dengan wanita Miriek Bahut bernama Timah. Melalui cerita lisan orang-orang tua etnik Miriek juga ada menyatakan bahawa kedua-dua pemimpin sub etnik Miriek Bahut dan Miriek Permaisuri iaitu Deng dan Sureng telah berkomplot memastikan bahawa anak-anak mereka berkahwin dengan anak-anak pemimpin di sekitar Miri bagi memastikan bahawa kelangsungan etnik ini di dalam kaum yang lain di Miri.

Etnik Miriek mempunyai satu bahasa tempatan yang dikenali sebagai Tuttot Meirek. Dipercayai bahawa bahasa Tuttot Meirek ini adalah bahasa etnik yang tertua di dunia yang telah digunakan menjadi bahasa pertuturan sejak 300 ke 400 tahun dahulu. Walau bagaimanapun penyelidikan tentang bahasa Tuttot Meirek adalah amat berkurangan sama sekali.

Pada asasnya populasi etnik Miriek di Miri boleh dibahagikan mengikut sub-etnik mereka. Sub-etnik Miriek Permaisuri ramai mendiami di kawasan seperti Kampung Wireless, Miri manakala sub-etnik Miriek Bahut ramai mendiami di kawasan seperti Kampung Pujut Seberang, Kampung Pujut Padang Kerbau, Kampung Pangkalan Lutong, Kampung Bekam, Kampung Pujut, Lopeng dan Sungai Miri. Jika melihat kepada kawasan populasi etnik Miriek ini, mereka bukanlah hilang di Sarawak tetapi sebenarnya etnik Miriek itu ada cuma mereka telahpun diasimilasikan di dalam masyarakat Melayu Sarawak samada dengan perkahwinan campur yang menjadi adat resam mereka sejak berzaman lamanya.

Inilah sekelumit sejarah tentang Etnik Miriek salah satu masyarakat etnik Sarawak yang dikatakan telah hilang di Sarawak. Sesungguhnya setiap kehilangan etnik itu mesti ada sebabnya dan ianya tidak akan hilang begitu sahaja seperti debu ditiup angin. Borneo Oracle mengalukan sebarang nilai tambah informasi untuk paparan kali ini agar kita lebih mengenal apa yang terjadi kepada saudara Bangsa Sarawak kita yang lain.

Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.

Borneo Oracle ♥ Sarawakian



1 comment:

  1. Etnis Miriek masih wujud, bukan lost tribes atau lost generation. Tak ada yg melakukan genocide. Mereka selalu mengakui sebagai orang Melayu.

    ReplyDelete